My Heartbeat

HIT THE JACKPOT!

Wednesday, November 19, 2008

Rumah Terbakar!

Kira-kira pukul 1.00 pagi tadi....saya terdengar suara perempuan menjerit, "Tolong!Tolong!" Saya tidak begitu pasti dari mana arahnya. Tapi nyata suara itu telah mengejutkan hampir semua penghuni di blok saya dan blok yang berhampiran.
Saya menjengah ke luar tingkap dan terdengar suara perempuan itu tersekat-sekat dan menyebut "Tingkat 3! Tingkat 3!" Beberapa orang mula keluar dan bergegas ke tingkat 3 which is.....rumah di atas saya! Saya agak ragu-ragu untuk keluar kerana kira-kira 3 bulan lepas telah berlaku satu kejadian samun di blok saya. Saya risau jika ianya adalah kejadian rompakan dan takut jika perompak itu masih ada. Jadi saya menelefon jiran sebelah rumah dan memaklumkan ada perempuan menjerit meminta tolong.
Kemudian saya terdengar suara berkata,"rumah terbakar!" Dan pada ketika itu juga saya terbau benda terbakar. Saya segera meminta housemate saya bersiap dan mengambil dokumen penting bersama. Saya keluar dan bergegas ke tingkat atas. Nyata! Rumah di atas rumah saya terbakar! Saya agak risau waktu itu. Bermacam-macam perkara bermain di fikiran saya. Macam mana kalau kebakaran merebak dan terkena ke rumah saya? Barang apa yang patut saya selamatkan dulu? Saya melihat asap hitam pekat keluar daripada tingkap rumah. Suara perempuan tadi juga sudah tidak kedengaran lagi.
Beberapa orang lelaki telahpun sampai di hadapan rumah. Saya memberitahu mereka yang saya ada mendengar suara perempuan meminta tolong tadi dan suaranya sudah kedengaran semakin lemah. Mereka berteriak memanggil penghuni rumah itu tetapi tiada jawapan. Jadi mereka memecahkan grill dan pintu rumah. Saya dan penghuni lain hanya mampu memerhati dari tingkat 2. Kami khuatir untuk rapat sebab macam-macam boleh terjadi. Di dalam setiap rumah biasanya ada tong gas. Bila berlaku kebakaran, tong gas itu boleh meletup dan membahayakan ramai orang.
Setelah berjaya memecahkan pintu, tiada siapa yang berani masuk kerana asap terlalu tebal dan api kelihatan semakin marak sehingga memecahkan cermin tingkap. Kami hanya mampu menunggu sehingga pihak Bomba sampai.
Dukacita dimaklumkan.....Bomba sampai setelah hampir 20 minit kejadian dilaporkan sedangkan saya dimaklumkan bahawa Balai Bomba yang terdekat hanya 5 minit perjalanan ke taman perumahan saya.
Setelah Bomba sampai, kelihatan mereka mengeluarkan seorang mangsa keluar. Itulah perempuan yang menjerit meminta tolong tadi. Dia kelihatan lemah dan di bawa turun ke rumah tingkat bawah di blok bersebelahan.
Akhirnya beberapa ahli Bomba berjaya memadamkan api dalam tempoh 15-20 minit sahaja. Saya difahamkan mangsa bersendirian masa kejadian berlaku. Dia sebenarnya tinggal bersama seorang adik perempuan. Adik perempuannya tiada di rumah dan keluar makan pada waktu kejadian itu berlaku.
Terdengar cakap-cakap yang menyatakan kejadian berpunca daripada laptop yang terbakar. Saya bertanya soalan cepu emas kepada salah seorang ahli bomba, "Rumah saya di tingkat bawah, takkan effect apa-apa kan?" Dia kata,"Tak....takkan apa-apa." Lega hati saya mendengarnya. Ahli Bomba itu juga menjelaskan yang dia tidak tahu punca kebakaran. Mereka menunggu pasukan penyiasat sampai untuk menyiasat. Mereka hanyalah tukang padam. Tukang siasat adalah orang lain. Ooo...baru saya tahu.
Saya kembali ke dalam rumah kira-kira pukul 2.00 pagi, mandi dan cuba tidur walaupun agak terganggu dengan bunyi bising (bunyi perabot dipatah dan dialihkan) pasukan penyiasat lakukan di tingkat atas.
Kejadian pagi tadi membawa pengajaran yang besar kepada saya.
  1. Simpan purse, beg tangan dan dokumen penting di tempat yang mudah untuk dicari.
  2. Pakai pakaian tidur yang sesuai dan memudahkan untuk melarikan diri di saat-saat kecemasan. (Jangan seksi sangat).
  3. Tutup suis elektrik setelah selesai menggunakan sesuatu peralatan elektrik.
  4. Bila berlaku kecemasan, menjeritlah meminta tolong dan nyatakan samada ianya kerana rompakan, kebakaran dan sebagainya supaya lebih mudah orang lain nak menolong anda.
  5. Sekiranya anda tinggal di flat, apartment atau condo seperti saya.....sila nyatakan tingkat berapa dan nombor rumah semasa menjerit meminta tolong.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Sape encem/cantek...pasti berani klik bawah ni...

Fast Buck!

X-CHANGE LINK